Monday, April 4, 2011

Jalan Hidup :Takdir

” Menyesalnya saya pilih program JAD ni sebab baru saya tahu saya tak minat engineering, saya minat medic!”

” Kenapalah hari ni pulak ada orang nak bunuh diri ni, tak pasal-pasal train sampai lambat ke destinasi!”

” Menyesalnya pilih universiti ni, hari-hari kelas penuh, tak boleh nak rehat pun!”

Kita mungkin banyak rasa menyesal dengan apa saja pilihan yang kita buat dalam hidup, dan jelasnya rasa menyesal ini akan terdetik saat-saat kita melalui kesukaran atas sesuatu yang kita pilih. Kadang-kadang rasa takut untuk membuat pilihan kerana takut dengan masa depan.

” Walau kita dihadapkan dengan pelbagai pilihan, mengapa sering terjadi pilihan tak menepati. Hingga amat menakutkan menghadapi masa depan seolah telah terhapus sebuah kehidupan yang kudus.”

Lirik lagu puitis , Suratan atau Kebetulan nyanyian Kenny, Remy dan Martin.

Jika difikir-fikir kembali dan diingati kembali pengalaman dan sejarah silam, terkadang kita rasa takut membuat keputusan dan takut menghadapi masa depan. Namun harus kita ingat bahawa hidup ini bukanlah kepada apa yang kita rancang, apa yang kita pilih dan apa yang kita dapat dari pilihan yang kita buat. Kehidupan ini jika dilalui dengan penuh redha, ia menjadi sangat indah sebenarnya.

Berkongsi cerita peribadi, ada satu peristiwa yang mengajar saya supaya tidak terlalu berduka dengan apa yang sudah berlaku kepada kita. Ketika masih belajar di Malaysia dulu, alhamdulillah saya diberi peluang tinggal sebilik dengan rakan yang baik akhlak dirinya. Jika diikutkan sikap kami sangat berbeza. Saya dengan sikap yang mudah melenting manakala rakan sebilik tadi tenang saja sikapnya. Ditakdirkan Allah, pada suatu hari kami sama-sama terlena seusai solat subuh dan terjaga setengah jam sebelum kelas bermula. Saya sangat kecewa ketika itu kerana niat di hati mahu makan roti canai di cafe Unisel, namun kerana terlambat bangun kami terpaksa menaiki bas terakhir ke Unisel dan yang pasti tidak sempat lagi untuk makan di dewan makan kerana kami sampai di Unisel hanya beberapa minit sebelum kelas bermula. Ketika turun tangga menuju tempat bas, saya merungut–rungut kerana hajat nak makan roti canai mungkin tidak akan menjadi nyata.

” Sedihnye, kenapa kita tak sedar tadi. Kalau tak boleh pergi awal ke Unisel. Nak makan roti canai.”

” Takpe jangan sedih. Ini yang terbaik untuk kita. Mana tahu kalau kita pergi awal tadi kita jatuh tangga ke masa nak pergi tempat bas. Kiranya yang jadi pada kita ni adalah perkara yang terbaik untuk kita ketika saat ini.”

Kata-kata kawan saya ini benar-benar buat saya terdiam dan berfikir sendiri. Betul juga kata kawan saya tu. Kita seringkali memikirkan kenapa kita tak dapat apa yang kita mahu sedangkan kita sendiri tidak tahu apa yang baik untuk kita. Kita nak jadi doktor tapi lepas peperiksaan SPM dulu tawaran JAD datang dulu dan kita pilih JAD. Kita nak pergi Waseda University tapi ketika diberi pilihan memilih universiti dulu, macam-macam berlaku menyebabkan kita memilih Nagaoka University sebagai pilihan pertama. Ianya sudah berlalu bukan? Namun pernah atau tidak kita terfikir bahawa apa yang buat kita membuat pilihan begitu ketika itu? Itulah namanya takdir, yang mana hanya Allah s.w.t yang berkuasa mengatur kehidupan terbaik untuk hamba-Nya. Kita jamin ke kalau kita pilih medic dulu kita akan gembira melalui kehidupan sebagai pelajar medic? Kita yakin ke kalau kita pilih Waseda University dulu, sekarang ni kita selesa belajar disana?

Kita tidak boleh jamin kerana kita tidak tahu masa depan kita. Namun sebenarnya kita tidak perlu bersedih dengan kehidupan ini kerana apa yang terjadi, samaada perkara gembira atau sedih, ia adalah perkara terbaik untuk kita ketika itu. Bukankah kegembiraan itu ubat kepada kesedihan? Dan bukankah ketika kita kesedihan itu membuat kita lebih menghargai kegembiraan? Jika kita rasakan setiap yang berlaku pada kita itu adalah yang terbaik untuk kita, kita pasti mampu menjalani kehidupan dengan tenang dan mampu tersenyum setiap masa :)

” Katakanlah, ” Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (ketentuan) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” [ Al-ahzab 33: 17]

” Kita sangat busy sekarang sehingga tiada masa untuk contact kawan-kawan.” Senyumlah kerana itu yang terbaik untuk kita pada masa sekarang :)

” Kita tak tahan sejuk di Jepun ni, rasa macam nak balik Malaysia.” Sabarlah kerana itu yang terbaik untuk kita pada waktu ini:)

Mari sahabat kita sabar dan senyum menghadapi perjalanan hidup yang perbagai ini kerana kita tidak tahu apa yang menanti kita di depan sana. Andai kamu jatuh, bangun kembali, jatuh lagi, terus bangun kembali, teruslah melangkah sehingga kamu ketemu syurga yang indah ‘disana’ kelak.

No comments:

Post a Comment